Maut tercampak keluar dari Toyota Hilux

Inilah Toyota Hilux yang dipandu oleh mangsa.

MIRI, Jun 17: Seorang lelaki warga Thailand terbunuh selepas Toyota Hilux yang dipandunya terbabas lalu berpusing sebelum dia tercampak keluar dari kenderaan tersebut dalam satu kemalangan di KM98, Jalan Miri-Bintulu di sini malam tadi.

Mangsa, Samphan Khamsopha, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada kepala dan badannya dalam kejadian pada pukul 8.50 malam itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menuju ke pusat bandar Miri dari arah Bintulu.


Menurutnya, nahas dikatakan berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali di kawasan berkenaan.

“Lelaki warga asing itu kemudian tercampak keluar dari kenderaan pacuan empat roda itu dan mengalami kecederaan parah.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.

Katanya, cuaca semasa kejadian adalah baik.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily