Wanita hilang, dipercayai dihanyutkan arus deras di Sg Tegan Belaga

Lokasi kejadian.

BELAGA, 7 Mei: Seorang wanita dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan arus kuat di Sungai Tegan Belaga, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dikatakan semasa kejadian bersama beberapa orang rakannya sedang memungut serta mencari hasil sungai.

Katanya, sekitar jam 3 petang, mangsa dikatakan cuba untuk menyeberangi sungai bagi mengambil perahu dengan berenang ke arah perahu.


“Bagaimanapun mangsa dilihat dalam keadaan terkapai-kapai dan seterusnya hilang berkemungkinan hanyut dibawa arus sungai serta dikhuatiri lemas.

“Rakan-rakan mangsa cuba mencari dan menyelamat mangsa namun tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bomba menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.27 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga terus ke lokasi kejadian.

“Pihak Bomba memulakan operasi pencarian di sekitar tebing sungai bersama polis dalam radius 200 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Operasi SAR tersebut telah ditangguhkan pada jam 6.25 petang dan akan disambung esok. — DayakDaily