Wanita dipukul teman lelaki cemburu membuat laporan polis

Suspek (tengah) ditahan untuk siasatan lanjut.

MIRI, 22 April: Jelak kerana sering dipukul teman lelakinya yang terlampau cemburu, seorang wanita telah tampil membuat laporan polis.

Susulan kejadian mangsa telah diserang oleh teman lelakinya itu pada petang Ahad (18 April), telah membawa kepada penahanan suspek berusia 26 tahun di sebuah bilik sewa di Jalan Tudan Permy Technology Park pada pagi Khamis (22 April).

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 10.30 pagi.


Difahamkan dalam kejadian petang Ahad yang lalu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka disyaki dipukul suspek yang tiba-tiba datang ke tempat kerja mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan. — DayakDaily