PKPD: Wan Junaidi sumbang bekalan makanan kepada penduduk Taman Mesra Bako

Wan Junaidi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan bekalan bahan makanan basah kepada wakil penduduk Taman Mesra Bako.

KUCHING, 22 April: Prihatin dengan keadaan yang di Taman Mesra bako yang sedang menjalani PKPD, Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyumbangkan bekalan makanan basah yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sumbangan bekalan makanan yang disumbangkan melalui pusat khidmat Parlimen berkenaan merupakan tambahan kepada bekalan makanan yang dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penduduk di taman perumahan tersebut.

Katanya, menerusi sumbangan terbabit, penduduk yang terjejas akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu boleh memasak menu lain selain daripada apa yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.


“Jabatan Kebajikan Masyarakat menghantar makanan tiga kali sehari, jadi tambahan daripada kita itu adalah untuk menu masakan daripada mereka sendiri yang boleh mereka masak sendiri.

“Tambahan bekalan makanan yang kita hantar ini berlandaskan maklum balas daripada penduduk yang memerlukan bahan makanan basah dan bekalan ini adalah bekalan ‘standard’ yang kita akan hantar,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan bekalan makanan kepada wakil penduduk Taman Mesra Bako di sini hari ini.

Wan Junaidi (dua dari kanan) melihat sumbangan bekalan makanan basah yang dihantar kepada penduduk di Taman Mesra Bako yang di bawah PKPD.

Tambah Wan Junaidi, sekiranya terdapat keperluan lain semasa tempoh PKPD di kawasan tersebut, penduduk boleh memaklumkannya kepada Pusat Khidmat Parlimen Santubong bagi membolehkan pusat tersebut membantu mendapatkan keperluan berkenaan.

Katanya, keperluan bahan makanan yang disumbangkan hari ini (22 April) adalah bagi bekalan seminggu sehingga 29 April nanti.

“Kalau ada bekalan-bekalan yang unik atau pun berasingan daripada itu, mereka dikehendaki memaklumkan kepada kita dan pusat khidmat akan bantuan semampu yang boleh,” katanya.

Wan Junaidi berkata, seramai 845 penduduk daripada 159 isi rumah terjejas di Taman Mesra Bako akibat perlaksanaan PKPD sejak 18 April lalu hingga 1 Mei depan.

Tambahnya, kawasan tersebut merupakan kawasan perintis di Sarawak bagi projek perumahan rakyat yang tersusun dan teratur berasaskan konsep perkampungan moden.

Bagaimanapun, tegas beliau, perkara itu tidak menjamin kawasan terbabit bebas daripada jangkitan Covid-19 sekiranya tiada pematuhan kepada prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita kena jaga penjarakan kita, SOP berkaitan sebab perkara itu penting bukan sahaja untuk kerajaan tetapi juga untuk kesihatan dan keselamatan kita bersama,” katanya. — DayakDaily