Wanita dilapor hilang di Siburan ditemui selamat

Wanita yang dilaporkan hilang itu ditemui selamat (berpakaian serba putih) oleh ahli keluarganya didalam stor dibelakang rumahnya.
Advertisement

SIBURAN, 7 Feb: Seorang wanita yang dilapor hilang selepas dipercayai melarikan diri dari rumah awal pagi tadi berjaya ditemui kira-kira jam 5 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, wanita yang berusia 47 tahun itu ditemui bersembunyi di stor di belakang rumahnya oleh ahli keluarganya sendiri.

“Operasi SAR untuk mencari mangsa ditamatkan pada petang ini susulan penemuan mangsa dalam keadaan selamat oleh ahli keluarganya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Dalam kejadian awal pagi, wanita itu dilaporkan hilang dari rumahnya dipercayai melarikan diri sekitar jam 4.30 pagi namun kehilangannya hanya disedari oleh ahli keluarganya sekitar jam 9 pagi.

Sementara itu, Ops SAR untuk seorang lelaki yang dilapor hilang di Kampung Bijuray, Bau turut ditamatkan hari ini selepas siasatan dan perbincangan dilakukan bersama pihak polis yang turut terlibat dengan operasi terbabit.

Penamatan operasi tersebut susulan maklumat daripada rakan mangsa yang memberitahu mangsa berkemungkinan bersembunyi.

“Ketika soal siasat dilakukan oleh pihak polis, rakan mangsa mengaku mereka ada mengambil dadah dipercayai jenis syabu semasa pergi memancing Rabu lalu (3 Feb).

“Mangsa berkemungkinan mengambil tindakan menyembunyikan dirinya kerana berasa takut sekaligus menyukarkan pencarian terhadap mangsa dilakukan kerana mangsa sebenarnya bersembunyi bukan hilang seperti yang didakawa,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan akan di sambung semula jika terdapat pertunjuk terbaharu daripada pihak polis. — DayakDaily

Advertisement