Kastam bongkar cubaan seludup dadah dalam bungkusan mee segera di Sarikei

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) logo

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


SARIKEI, 3 Julai: Cubaan menyeludup dadah jenis ganja dalam bungkusan mee segera menggunakan khidmat kurier gagal apabila berjaya dibongkarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.

Pengarah JKDM Sarawak Herman Shah Abdullah berkata kejadian dikesan oleh pegawainya dari Unit Pos Bungkusan, Stesen Sarikei pada 1 Julai iaitu sekitar jam 11 pagi.

Jelasnya, bungkusan mencurigakan itu diikrar sebagai ‘foodstuff’ yang tiba dari Semenanjung Malaysia menggunakan pos domestik.


“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan yang mengandungi mee segera tersebut telah menemui tiga bungkusan plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 30 gram dengan nilai dianggarkan RM1,500.

“Barangan dipercayai dadah berbahaya jenis ganja tersebut dibungkus di dalam bungkusan mee segera dan dihantar melalui perkhidmatan pos domestik bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang tiga kali dan tidak melebihi 9 kali sebatan,” katanya. — DayakDaily