Wanita dari Marudi, ditangkap di Bau kerana disyaki jalankan judi dalam talian

Barang yang dirampas oleh polis.

BAU, 9 Ogos: Seorang wanita berasal dari Marudi, Baram ditangkap selepas disyaki terlibat aktiviti judi dalam talian di Jalan Jambusan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditangkap menerusi Ops Dadu pada jam 6.30 petang, semalam.

Katanya anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bau telah membuat serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Jambusan, Bau.


“Anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas telefon pintar yang diserah sendiri oleh suspek dan mendapati terdapat kios perjudian atas talian (JOL) disyaki ID pengguna judi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seunit telefon bimbit, buku bil dan sejumlah wang tunai turut dirampas daripada suspek untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun penjara jika sabit kesalahan,” katanya. — DayakDaily