Roy Gingkoi pengerusi PRS Engkilili yang sah — Salang

Salang bercakap kepada media di Kuching.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Ogos: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum menegaskan bahawa parti di cawangan Engkilili hanya ada satu jawatankuasa.

Katanya, cakap-cakap mengatakan cawangan PRS Engkilili telah berpecah dan mempunyai dua pengerusi hanyalah spekulasi.

“Hanya ada satu jawatankuasa yang diketuai oleh kaunselor yang juga seorang peguam iaitu Roy Gingkoi,” katanya di sidang media di Kuching hari ini.

Menurut Salang, PRS telah melantik Roy sebagai Pengerusi Interim menjelang Persidangan Perwakilan Tritahunan yang diadakan pada April lepas di Sibu.

Berhubung kenyataan Tr Bangkong Mawing yang mendakwa beliau kekal pengerusi cawangan Engkilili, Salang berkata Bangkong telah meletak jawatan dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Oleh itu berdasarkan perlembagaan parti, katanya, apabila ahli telah mengumumkan untuk meninggalkan parti maka ia adalah dianggap satu kenyataan rasmi.

“Oleh kerana itu, beliau (Bangkong) tidak boleh bersuara mewakili parti, samada di peringkat bahagian atau peringkat yang lain.

“Beliau bukan lagi ahli parti dan ini sudah jelas,” kata Salang. — DayakDaily