Wanita cemas, kereta dipandu terbakar

Kelihatan sebuah kereta sedang terbakar.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 24: Seorang wanita berdepan dengan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandu terbakar selepas merempuh sebatang pokok di Jalan Masjid Jamek di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas sempat keluar menyelamatkan diri.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Kamri Bujang, berkata lima anggota bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.46 pagi.

Jelasnya, apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati bahagian enjin sebuah kereta Perodua Myvi sedang terbakar.

Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kereta.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, pemandu kereta tersebut sempat keluar menyelamatkan diri.

“Wanita berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamri memberitahu, pasukan bomba terus membuat pemadaman api dengan menggunakan saluran bantu mula air dari tangki jentera pemadam.

Katanya, kebakaran tersebut telah memusnahkan 90 peratus kenderaan tersebut.

“Operasi tersebut tamat pada pukul 8.58 pagi,” jelasnya lagi. — DayakDaily