Wanita cemas, kereta dipandu hilang kawalan lalu rempuh pembahagi jalan

Keadaan di lokasi kemalangan.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 23: Seorang wanita berdepan dengan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan di Jalan Rock Batu 3, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1.25 pagi itu telah mengakibatkan seorang wanita berusia 32 tahun mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.29 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Anggota bomba membantu mangsa.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati orang awam telah bertindak mengeluarkan mangsa.

“Pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 2.39 pagi. — DayakDaily