Wanita cedera dalam kemalangan di Batu 12 Jalan Kuching-Serian, disahkan meninggal dunia

Kereta Perodua Myvi terbabas ke dalam parit.

KUCHING, 23 Mac: Seorang wanita disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan di Batu 12 Jalan Kuching-Serian, di sini.

Katanya, mangsa Beky Nyuu berusia 55 tahun dan berasal dari Kampung Taee, Serian disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan HUS sekitar jam 12.55 semalam.


“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan telah dikejarkan ke HUS menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan sebelum dia disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu mangsa merupakan penumpang sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dilanggar sebuah Toyota Hilux dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 10.23 pagi hari Jumaat.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi dikatakan tiba-tiba keluar dari satu simpang di bahu kiri jalan.

Difahamkan Toyota Hilux yang bergerak lurus di lorong kanan dari arah Serian tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Myvi tersebut.

Perlanggaran tersebut menyebabkan Perodua Myvi terbabas ke dalam parit di bahu kiri jalan raya tersebut.

Impak kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan pemandu Perodua Myvi turut mengalami kecederaan di beberapa anggota badan.

Mangsa yang dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut telah disahkan meninggal dunia selepas itu.

Manakala pemandu dan penumpang Toyota Hilux dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Kata Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily