Wanita, 20, maut diseret lori disyaki langgar lampu isyarat di Kuching

Mangsa ditenangkan rakannya di lokasi kejadian.

KUCHING, 24 Jun: Seorang wanita meninggal dunia akibat kecederaan di kepala selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di simpang Jalan Tun Razak-Jalan Dato Bandar di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 20 tahun itu berasal dari Taman Arbi, Jalan Kampung Tabuan Hilir.

Jelasnya, semasa kejadian mangsa bersama rakannya menaiki sebuah motosikal dalam perjalanan dari arah Pending menuju ke simpang Jalan Dato Bandar iaitu sekitar jam 10.45 pagi.


Bagaimanapun mereka telah dilanggar sebuah lori yang membawa muatan 34 tan batu yang dipercayai telah melanggar isyarat lampu isyarat merah.

Mangsa dan rakannya itu telah diseret beberapa meter di lokasi kejadian.

Ekoran itu, mangsa yang membonceng motosikal semasa kejadian dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) .

Walau bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari semasa sedang menerima rawatan.

Rakan mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Alexson memberitahu pemandu telah ditahan dan lorinya disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily