This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 18 Sept: Wang hasil titik peluh yang dikumpul di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lesap, rumah yang dijanjikan tidak wujud adalah sesalan seumur hidup Jagil Edi yang berasal dari Katibas.
Jagil, 57, terjebak dalam skim pelaburan hartanah yang menjanjikan sebuah rumah pada tahun 2020 kerugian RM32,000.
Mengakui trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya, Jagil tidak sama sekali menyangka beliau telah menjadi mangsa penipuan.
Katanya, pertemuan dengan agen yang disifatkan sangat baik dan ikhlas sama sekali tidak mencurigakan beliau.
“Apatah lagi pertemuan berlaku di gereja, di tempat suci dimana semuanya baik-baik.
“Agen mencadangkan agar saya membeli sebuah rumah di Dudong, Sibu. Mulanya saya tak berminat tetapi agen berkata beliau pun ada membeli.
“Disebabkan beliau ada membeli, saya pun percaya dan bersetuju untuk membeli,” kata Jagil ketika ditemui di Kuching hari ini.
Menurut Jagil, semua proses pembelian rumah tersebut dilakukan mengikut prosedur yang betul.
Katanya, semua dokumen ditandatangi dengan melibatkan peguam dan pernah ke pejabat syarikat di Sibu.
“Saya membuat 2 pembayaran pada tahun 2020 yang berjumlah RM32,000. Ia adalah duit KWSP yang saya keluarkan bila umur 50 tahun.
“Tetapi setelah 2 tahun tidak nampak rumah, alasannya ialah kerana Perintah Kawalan Pergerakan berikutan wabak Covid-19, itu saya terima.
“Tetapi sehingga sekarang, rumah tidak wujud, syarikat gagal dihubungi dan setelah itu saya sedar sudah menjadi mangsa penipuan,” kata Jagil.
Lebih menyedihkan tambah Jagil, beliau telah membawa 3 rakan lain dan turut sama menjadi mangsa.
Hari ini, Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Dato Hishamuddin Hashim telah di bertemu dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri bagi membincangkan kes tersebut.
Pada pertemuan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Jalan Badruddin itu, Mohd Azman memberi jaminan bahawa siasatan terperinci akan dilakukan bagi menyelesaikan kes tersebut. — DayakDaily