Wan Junaidi: Tiada syarat baharu halang individu dalam proses perbicaraan mahkamah jadi calon pilihan raya

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, Sept 6: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk menambah syarat-syarat baharu bagi urusan pencalonan wakil yang akan bertanding dalam pilihan raya akan datang khususnya bagi calon yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah.

Hal ini merujuk kepada kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya yang mencadangkan Kerajaan agar mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan dan rasuah.

“Oleh yang demikian, bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat-syarat baharu bagi menghalang mana-mana individu daripada bertanding, sebagai contoh untuk menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding,” ujar Wan Junaidi dalam satu kenyataan hari ini.


Wan Junaidi turut berkata syarat-syarat bagi pencalonan pilihan raya sedia ada mencukupi sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan di mana sekiranya individu itu didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas akan hilang kelayakan.

Perkara ini juga perlu dibaca bersama dengan Perkara 48(5) berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen.

“Oleh itu, saya berpandangan tiada keperluan untuk tambah syarat lain bagi mengetatkan syarat pencalonan sedia ada.

“Sekiranya ditambah lagi, ianya akan kembali ke era 90-an yang mana proses pencalonan adalah rumit.

“Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya,” katanya lagi.

Manakala berhubung individu yang telah dipilih menjadi ahli parlimen, keahliannya tidak akan tergugur melainkan syarat-syarat sebagai mana yang ditentukan di bawah Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ahli parlimen telah dihukum dan belum mendapat pengampunan.

Mengikut Perkara 48 (4)(c), apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya. — DayakDaily