Wan Junaidi-Kepimpinan baharu seharusnya teruskan usaha PN

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 17 Ogos: Mantan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap barisan kepimpinan baharu kerajaan nanti dapat meneruskan usaha murni Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

MP Santubong itu berkata, PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan yang terbaik terutama dalam menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

“Ini termasuk dalam mempercepatkan program imunisasi kebangsaan dan usaha ini sudah pun menampakkan hasil,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, Wan Junaidi juga berharap sesiapa sahaja yang dilantik memegang portfolio Menteri MEDAC selepas ini akan terus komited memperkasakan keusahawanan negara.

Katanya, golongan usahawan dan koperasi menaruh sepenuh kepercayaan dan harapan kepada Kementerian bagi menyokong dan menjadikan impian mereka kepada realiti terutamanya dalam bidang keusahawanan.

Selama menerajui MEDAC tambah Wan Junaidi, banyak tumpuan telah diberikan dalam usaha membantu peniaga–peniaga kecil, terutamanya golongan informal kerana mereka inilah kumpulan yang amat terkesan akibat Covid-19.

“Dalam usaha ini, saya sentiasa memastikan Kementerian saya, dan agensi di bawahnya, memperbaiki kualiti perkhidmatannya bukan sahaja untuk menjadi lebih efisien, malah supaya lebih mesra pelanggan dan mesra rakyat.

“Selama setahun lebih menjadi menteri, banyak juga pembaharuan, reforms dan penambahbaikan yang telah saya realisasikan di dalam MEDAC dan agensinya. — DayakDaily