Wan Junaidi: Belanjawan Negeri 2020 tingkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, Nov 4: MP Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan Belanjawan Negeri 2020 akan mengimbangi perbezaan pembangunan di antara kawasan bandar dan kawasan luar bandar.

Keseluruhan belanjawan, katanya, memberi penekanan kepada pembangunan dan rakyat terutama di luar bandar.

“Dengan membangunkan infrastruktur induk seperti Jalan Pesisir dengan pembinaan beberapa jambatan dan jalan-jalan penghubung ke kawasan-kawasan terpencil, maka Sarawak berupaya mengerakkan ekonomi penduduk luar bandar.


“Bidang pertanian dapat dikembangkan dan ini selaras dengan matlamat belanjawan untuk mencapai negeri maju berpendapatan tinggi pada tahun 2030,” ulas beliau menerusi satu kenyataan media hari ini.

Pada ucapan belanjawan pagi tadi, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM9.891 bilion bagi Belanjawan Negeri 2020.

Daripada jumlah itu, RM6.597 untuk perbelanjaan pembangunan dan RM3.294 bilion untuk perbelanjaan operasi.

Wan Junaidi juga memuji usaha kerajaan melalui belanjawan tersebut dengan cadangan memberi bantuan khas kepada para nelayan dan petani selain bantuan perumahan untuk golongan miskin.

Katanya, dahulu semua bantuan ini disalurkan dari kerajaan persekutuan dan telah pun diberhentikan.

“Terima kasih juga kepada ketua menteri kerana meneruskan Projek Darul Hana, Sungai Bedaun, Tabuan Melayu dan Kampung Sejingkat.

“Projek ini akan mengubah wajah Bandar Kuching dan kawasan pinggir bandar di samping memberi keselesaan kepada penduduk-penduduk kampung yang terlibat,” katanya.

Tambah beliau lagi, Projek Sungai Bedaun adalah merupakan projek bersama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk menempatkan semula keluarga di beberapa buah kampung di Kuching, Buntal dan Sungai Lumut, di Sungai Bedaun.

Projek tersebut, katanya, melibatkan pembinaan lebih 300 lot rumah tetapi selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, projek terhenti.

Namun sekarang projek itu tetap diteruskan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak(GPS), ujar beliau.

Wan Junaidi juga berkata peruntukan yang memberi fokus kepada pendidikan STEM dan latihan kemahiran tinggi adalah sangat dinanti-nantikan.

“Ini adalah kerana program ekonomi digital memerlukan sumber manusia yang berpengetahuan dalam bidang sains, matematik, Inggeris dan teknologi.

“Sarawak di bawah pentadbiran GPS menghala ke arah yang betul di masa hadapan,” katanya. — DayakDaily