Wakil rakyat sewajarnya tidak duduk dalam Panel Pelantikan Ketua Kaum – Abun

Abun Sui Anyit
Advertisement

KUCHING, 8 Jun: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui setuju dengan cadangan agar ahli-ahli politik dan wakil rakyat tidak duduk dalam Panel Pelantikan Ketua Kaum.

Katanya, Ketua Kaum atau Tuai Rumah sebaiknya dipilih oleh komuniti kampung atau rumah panjang itu sendiri tanpa campur tangan pihak ketiga.

“Kerajaan pula hanya ada tanggungjawab berkanun untuk melantik dan memberi sijil lantikan kepada individu yang telah dipilih.

Advertisement

“Tidak perlulah Kerajaan atau wakil Kerajaan mempertikai kebijaksanaan penduduk memilih Ketua Kampung atau Tuai Rumah, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Abun menyarankan agar Kerajaan Sarawak segera melantik Ketua -Ketua Kampung dan Tuai Rumah yang telah dipilih oleh penduduk tetapi belum dilantik oleh Kerajaan di seluruh Sarawak.

Tambah beliau, mereka ini telah berkhidmat dengan sukarela dan ada yang berkhidmat lebih dari 10 tahun.

“Kerajaan perlu memberi kepercayaan kepada penduduk untuk memilih Ketua mereka untuk mengelak polimik dan perpecahan berterusan dalam kampung,” ujar Abun. — DayakDaily

Advertisement