Wakil rakyat, pemimpin tempatan digesa menyertai usaha membina budaya membaca buku

Manyin (depan, duduk kanan) menyertai 'Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit' di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya.

KUCHING, April 24: Kerajaan Sarawak mahu semua wakil rakyat dan pemimpin akar umbi tempatan menyertai usaha membangunkan masyarakat yang suka kepada budaya membaca buku di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian dengan wakil rakyat tempatan boleh memulakan usaha itu dengan membina sudut membaca di setiap kampung dan menganjurkan program bagi mempromosi tabiat membaca buku ilmuan.

“Pemimpin akar umbi termasuk penghulu, ketua kampung, ketua kaum dan sebagainya pula mestilah menunjukkan teladan dengan mengamalkan sendiri budaya membaca,” katanya dalam ucapannya yang dibacakan wakilnya Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Dato Sri Michael Manyin Jawong ketika merasmikan ‘Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, semalam.

Pustaka Negeri Sarawak juga melancarkan Pustaka Mobile App di majlis tersebut dan menyampaikan Penghargaan Penguna Aktif 2018 kepada Evelylin Slyvia Norita (kategori kanak-kanak) dan Grace Slyvia Norita (katagori remaja) yang keduanya dari Miri, dan Kelso Jay Blakeney (kategori warga emas).

Manyin (dua dari kiri) menyampaikan anugerah Penghargaan Penguna Aktif 2018 (kategori remaja) kepada Grace di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Abang Johari sehubungan itu berharap usaha ini akan mengalakkan penduduk Sarawak bersama memupuk budaya membaca dalam keluarga masing-masing dan mereka seterusnya mewujudkan satu sudut membaca bagi setiap rumah.

Selain mewujudkan sudut tersebut, beliau juga menyarankan ibu bapa untuk berbincang dengan anak masing-masing untuk menetapkan sasaran bagi anak mereka membaca sekurang-kurangnya satu buku sebulan.

“Jika tidak mampu membeli buku, maka pinjamlah dari perpustakaan. Jika buku-buku di perpustakaan tidak mencukupi gunakanlah e-buku yang telahpun kita sediakan melalui Pustaka Negeri Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata pihaknya mengalakkan usaha itu kerana realiti persaingan dalam persekitaran ekonomi digital ini telah menjadikan amalan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai satu keperluan.

“Kita perlu mempelajari ilmu bagi memperkasakan diri dalam usaha pekerjaan. Selain itu kita juga perlu melakukan kaji selidik berkaitan apa-apa maklumat yang kita terima kerana banyak maklumat yang palsu disebarkan pihak tidak bertangungjawab,” katanya. — DayakDaily