Berang pihak ladang sawit putuskan jalan ke kebun, penduduk kampung cetus kekecohan

Keadaan yang tidak terkawal di Ladang Sawit Sungai Tersak, Simunjan.

Oleh Dean Adam

SIMUNJAN, April 23: Satu insiden yang menggemparkan telah berlaku di Ladang Kelapa Sawit, Sungai Tersak dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu berlaku apabila sekumpulan penduduk dari Kampung Sg Lingkau, Kampung Melanjok dan Kampung Sekendu dipercayai telah bertindak membakar sebuah pondok pengawal, motosikal selain merosakkan harta benda ladang seperti palang penghadang jalan dan papan tanda amaran.


Menurut sumber, kejadian itu dipercayai berlaku akibat ketidakpuasan hati penduduk kampung selepas pihak ladang kelapa sawit memutuskan jalan mereka ke kebun sejak dua minggu lepas.

Katanya, difahamkan jalan menuju ke kebun milik penduduk kampung berkenaan terletak di dalam kawasan ladang berkenaan.

“Sebelum itu, penduduk kampung dikatakan ingin meminta penjelasan mengapa jalan ke kebun mereka diputuskan dan memohon pihak ladang menembok semula laluan berkenaan.

“Namun, pihak ladang dikatakan enggan berbincang hingga mengakibatkan penduduk kampung marah dan keadaan bertukar tegang,” katanya di sini hari ini.

Keadaan yang tidak terkawal di Ladang Sawit Sungai Tersak, Simunjan.

Sumber menambah, para penduduk kampung yang berang kemudian dikatakan bertindak luar jangkaan dengan membakar harta benda pihak ladang.

Bagaimanapun katanya, keadaan terkawal apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian untuk meleraikan keadaan.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan berlakunya kes di ladang sawit berkenaan.

“Setakat ini, kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily