Wabak rabies di Sarawak kekal 20 kematian, seorang masih hidup

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Okt 9: Wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 telah mengakibatkan 20 kematian dengan seorang kanak-kanak masih selamat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan media hari ini mendedahkan, pada tahun ini, terdapat lima kes disahkan rabies dalam kalangan manusia.

“Kes terakhir adalah pada 21 Ogos 2019 melibatkan seorang lelaki berumur 64 tahun dari sebuah rumah panjang di Mukah, Sarawak. Pesakit telah digigit oleh anjing yang diambil daripada saudaranya di Kanowit.


“Kes telah meninggal dunia pada 19 Ogos 2019 semasa dalam perhatian rapi pakar perubatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bintulu,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, bilangan kes gigitan haiwan khususnya anjing dan kucing masih tinggi dengan purata dari 40 ke 60 kes sehari, pada kadar yang hampir sama seperti pada tahun pertama wabak rabies.

Sejak 1 Julai 2017 sehingga 3 Oktober 2019 katanya, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia adalah 21 orang.

Kesemua kes telah meninggal dunia kecuali seorang kanak-kanak yang masih hidup.

Katanya, kanak-kanak yang berusia sembilan tahun itu kini mengalami komplikasi neurologi teruk akibat jangkitan rabies.

“Gigitan atau cakaran anjing adalah punca utama bagi hampir kesemua kes rabies yang dilaporkan.

“Jangkitan rabies kepada manusia boleh dielakkan melalui imunisasi rabies kepada haiwan tersebut,” ujar beliau.

Justeru beliau menasihati orang ramai untuk tidak mengambil atau memelihara anjing yang tidak diketahui status kesihatan.

Lima kes daripada 21 kes rabies terbabit memberi sejarah digigit oleh anjing yang diambil daripada individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan tersebut tidak diketahui.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan yang hampir keseluruhan negeri Sarawak ada melaporkan anjing dan kucing yang didapati positif rabies kecuali Limbang yang masih bebas rabies.

Setiap pemilik, katanya, bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka telah mendapat imunisasi rabies dan elakkan haiwan peliharaan berkeliaran di luar rumah atau bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

“Pada tahun 2019, sejumlah besar anjing dan kucing yang menggigit mangsa didapati positif ujian rabies.

“Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, sehingga 30 September 2019, sebanyak 138 (32.8 peratus) sampel daripada sejumlah 420 anjing dan kucing yang dijalankan ujian adalah didapati positif rabies,” ujar beliau. — DayakDaily