‘Sokong penuh kerajaan negeri kembalikan hak-hak Sarawak’

Wee (enam dari kanan) mengetuai acara angkat sumpah ahli-ahli jawatankuasa persekutuan yang baharu sambil disaksikan Abang Johari (dua dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Okt 9: Persekutuan Persatuan Cina Sarawak menyokong sepenuhnya usaha kerajaan negeri mengembalikan hak-hak Sarawak yang dipersetujui di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presidennya, Datuk Richard Wee berkata mempertahankan hak-hak dan kuasa autonomi negeri adalah tanggungjawab semua rakyat Sarawak.


“Selain menghargai rundingan dengan kerajaan pusat yang bukannya satu tugas mudah yang melibatkan perundangan, penilaian politik dan proses yang rumit.

“Tetapi dengan pendirian tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengetuai rundingan, kita Persekutuan Persatuan Cina Sarawak yang mewakili masyarakat Cina memberi sokongan penuh,” katanya.

Wee berkata demikian pada Majlis Makan Malam Persekutuan Persatuan Cina Sarawak 2019 yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.

Majlis tersebut juga dihadiri Abang Johari.

Wee yang baru dilantik menerajui persekutuan berharap kerajaan negeri akan terus memaklumkan berkenaan hasil atau perkembangan terkini rundingan tersebut kerana ia adalah dekat di hati rakyat.

Di majlis yang sama, Wee berkata persekutuan itu akan terus menjadi jambatan penghubung antara masyarakat Cina dengan kerajaan.

Katanya, persekutuan menjadi landasan untuk semua wakil-wakil masyarakat bergabung seterusnya bertemu dengan ketua menteri.

“Persekutuan ini akan menyalurkan maklumbalas berhubung perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan terus kepada ketua menteri.

“Kita juga mengalu-alukan sebarang nasihat dari Ketua Menteri berhubung peranan persekutuan dalam membantu masyarakat dan juga kerajaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, persekutuan akan terus mempromosikan budaya tradisional masyarakat Cina.

Paling mustahak, katanya, ialah mengutamakan permasalahan yang dihadapi masyarakat dan mencari jalan penyelesaian selain mempertahankan hak-hak rakyat Sarawak terutamanya masyarakat Cina.

“Saya ingin memberi keutamaan kepada aktivi-aktivi yang melibatkan semua kaum seperti mengadakan dialog dan aktiviti bersama.

“Aktiviti seperti ini akan mengeratkan persefahaman dan perpaduan antara pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu turut diadakan acara mengangkat sumpah dan penyerahan sijil lantikan ahli-ahli jawatankuasa persekutuan yang baharu.

Turut hadir Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily