Wabak koronavirus: Pulangkan bayaran atau panjangkan tempoh sah tempahan para pelancong, kata Abdul Karim

Abdul Karim (tengah) pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Feb 4: Syarikat penerbangan, pengangkutan dan pengusaha hotel disyor memulangkan bayaran atau memanjangkan tempoh sah terhadap semua tempahan yang telah dibuat pelancong-pelancong ke negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dalam situasi penularan wabak koronavirus ramai pelancong termasuk agensi pelancongan telah membatalkan perjalanan mereka.

Katanya, penularan wabak koronavirus di China telah memberi kesan terhadap industri pelancongan dengan sekatan masuk terhadap mereka yang pernah ke China.

“Pada perbincangan, kita menagih pemahaman para pemain industri terhadap situasi yang dihadapi sekarang.

“Kita juga bincang bagaimana hendak membantu para pemain industri kerana mereka telah kehilangan pelanggan.

“Agensi pemandu pelancong memerlukan pelancong, pihak hotel bergantung kepada pelancong dari luar dan jika keadaan ini berterusan, mereka akan susah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah menghadiri sesi dialog bersama para pemain industri pelancongan di Bangunan Baitulmakmur di Petra Jaya hari ini.

Abdul Karim berharap dengan pengalaman yang ada, pemain industri boleh menangani situasi dengan baik dan berusaha mencari peluang lain di dalam industri.

Katanya, pihak kementerian pelancongan melalui pelbagai agensi tetap akan meneruskan promosi dan acara yang telah dirancang.

“Semua promosi dan acara yang berkaitan dengan pelancongan tetap akan diteruskan di negeri ini.

“Kita ada festival muzik seperti ‘Rainforest World Music Festival’, perlumbaan Spartan, maraton dan semua ini akan tetap diteruskan,” katanya.

Tambah Abdul Karim, jumlah pelancong dari China yang melawat Sarawak dalam tahun 2019 adalah 39,933 orang.

Dari jumlah itu, katanya, purata sebulan pelancong China yang melawat Sarawak adalah sekitar 3,000 hingga 4,000 orang.

Di sidang media yang sama, beliau berkata mahukan pengusaha hotel pada masa ini mensasarkan pelancong domestik dengan promosi yang lebih agresif.

Kalau tempahan bilik kurang, katanya, pengusaha hotel boleh menganjurkan program semasa musim cuti panjang untuk menarik pelancong domestik termasuk dari Semenanjung Malaysia dan Sabah. — DayakDaily