Veteran lumpuh separuh badan terima bantuan ATM

Mohd Isa(kanan) bertanya khabar Helbirten yang terlantar di rumah beliau di Kampung Tebedu Mawang, Serian.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Jun: Keperitan hidup veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kpl (B) Helbirtren Ronnie yang lumpuh separuh badan sejak lima tahun lepas mendapat perhatian ATM.

Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Isa Jaafar pada semalam telah melawat Helbirten di rumahnya di  Kpg Tebedu Mawang,  Serian.


Pada lawatan tersebut, Mohd Isa telah menyampaikan bekalan keperluan asas, lampin pakai buang serta susu tepung.

Selain itu, beliau turut menyampaikan bantuan peralatan pesakit iaitu katil, tilam dan kerusi roda yang telah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Sarawak.

Bantuan adalah untuk meringankan beban Helbirten sekeluarga ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Helbirtren lumpuh separuh badan (pinggang ke bawah) serta tidak boleh bercakap setelah terjatuh di bilik mandi pada 30 Jun, 2015.

Ketika itu beliau sedang bercuti dan dalam persiapan untuk terlibat dalam Op JAGAKAWAN, Pos Limbang pada 1 Julai, 2015.

Turut serta Pengarah JHEV ATM Sarawak Mejar Pahot Joll dan wakil persatuan-persatuan veteran sekitar Serian.-DayakDaily.