Tun Pehin Sri Taib terima kunjungan hormat PVATM Sarawak, OUNA

TYT menyerahkan sumbangannya kepada pihak PVATM menerusi Tabung Rayuan Hari Pahlawan.

KUCHING, 2 Ogos: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud terima dua kunjungan hormat di Demak Jaya, di sini, pagi tadi.

Kunjungan hormat pertama daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diketuai oleh Presiden Persatuan Veteran ATM Sarawak, Jimbau Galau.

Menurut Presiden Persatuan Veteran ATM Datuk Sharuddin Omar, PVATM merupakan antara persatuan sulung di Malaysia dan telahpun menyambut ulangtahun ke-100 tahun penubuhannya sejak 20 Mei 1922 manakala 64 tahun di Sarawak.

PVATM ada 22 pejabat cawangan di seluruh Bumi Kenyalang yang mempunyai 8,800 keahlian berdaftar setakat ini.

Kunjungan hormat tersebut bertujuan menjemput TYT bagi melancarkan Tabung Rayuan Hari Pahlawan dan dalam masa sama mempelawa orang ramai menyalurkan sumbangan untuk membantu golongan veteran yang memerlukan.

Sejurus selepas itu, TYT menerima kunjungan hormat kedua daripada Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak (OUNA) yang diketuai oleh Presiden OUNA, Dato Abu Bakar Abdullah.

Kunjungan bertujuan menjemput TYT ke Majlis Kenangan Kubu-Kubu dan Pekan-Pekan Bersejarah Baram dan Jemputan Tanam Pokok Kelapa serta Pokok Kayu di Loagan Bunut. — DayakDaily