Van terbabas langgar pokok, seorang maut di Sibujaya

Pasukan Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SIBU, 9 Mei: Seorang maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Salim Stabau, Sibujaya, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.30 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibujaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah van yang melanggar pokok dan terdapat dua orang lelaki (mangsa), seorang daripadanya tersepit dan seorang lagi tidak tersepit tetapi mengalami cedera parah.

“Pihak Bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dia telah disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala mangsa yang cedera parah telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Setelah membuat kerja-kerja pembersihan sepihan kemalangan dan mendapati keadaan selamat, pasukan Bomba bergerak balik ke balai. — DayakDaily