KUCHING, 12 Jan: Kementerian Kewangan telah menetapkan waktu operasi yang baharu bagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara termasuk Kuching, Sibu dan Miri bermula 22 Januari sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.
Berdasarkan kenyataan media kementerian yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini, waktu operasi baharu ketiga-tiga pusat UTC di Sarawak ini adalah dari jam 8 pagi sehingga 5 petang, Isnin sehingga Ahad.
Sebanyak 15 UTC di seluruh negara akan beroperasi seperti jadual tersebut.
Ini akan mengantikan waktu operasi sebelumnya, iaitu dari jam 8 pagi sehingga jam 7 petang setiap hari, yang bermula 2 Januari lepas, manakala waktu Solat Jumaat pula kekal dari 11.45 pagi sehingga 2.15 petang.
UTC di seluruh negara akan kekal beroperasi tujuh hari seminggu, kecuali cuti umum persekutuan dan negeri, bagi memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
Sementara itu, tiga UTC di Shah Alam, Keramat dan Seremban akan beroperasi dari 1 petang sehingga 10 malam pada Isnin-Khamis dan 2.45 petang hingga 8 malam pada Jumaat. Pada Sabtu dan Ahad, ketiga-tiga UTC ini akan beroperasi dari 8 pagi sehingga 5 petang.
Bagi empat UTC lagi, iaitu Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuala Terengganu, waktu operasi adalah dari 1 petang sehingga 10 malam pada Ahad hingga Khamis, dan 8 pagi hingga 5 petang pada Jumaat dan Sabtu.
“Waktu operasi UTC akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan permintaan rakyat dipenuhi dan pada masa yang sama, perbelanjaan kerajaan dibuat secara efisien tanpa pembaziran waktu dan tenaga,” kementerian berkata. — DayakDaily