Utamakan pembangunan di Daerah Belaga, tegas PNA

Presiden Persatuan Kebangsaan Punan (PNA) Daniel Batin

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mac: Belaga dahagakan pembangunan yang setimpal dengan kewujudan dua loji kuasa elektrik, Empangan Bakun dan Murum, di daerah tersebut.

Presiden Persatuan Kebangsaan Punan (PNA) Daniel Batin, berkata infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air terawat, termasuk perkhidmatan klinik kesihatan di daerah tersebut masih belum ditahap memuaskan.


Disamping itu, beliau berkata peluang pekerjaan khususnya untuk penduduk tempatan seakan tidak wujud meskipun Belaga mempunyai dua loji kuasa elektrik.

“Tiga puluh tahun yang lepas, saya mengimpikan Empangan Bakun bakal mengubah landskap pembangunan di Daerah Belaga, iaitu menjadikan Belaga bandar tenaga.

“Tetapi malangnya pekara yang berlaku pada masa ini tidak seperti yang diimpikan pada zaman persekolahan, dan sekarang sudah terbina loji kuasa kedua, Empangan Murum,” kata Daniel.

Beliau berkata demikian kepada DayakDaily sebagai tanda sokongan terhadap kenyataan ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang dan ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon.

Liwan yang juga Menteri Muda Bekalan Air, pada Isnin lepas, mengatakan program pembangunan di Daerah Belaga dari pelbagai aspek sangat perlahan.

Tambah Daniel, keadilan dan hak istimewa komuniti tempatan tidak setimpal dengan tahap pembangunan kalau dibandingkan dengan daerah lain seperti Bintulu dan Tanjung Manis.

Menurut beliau, Tanjung Manis yang tiada memiliki apa-apa sumber telah membangun dengan pesat.

“Begitu juga dari tahun 1980-an sehingga kini, Belaga mengeluarkan hasil kayu terbesar di negeri ini tetapi akhirnya Daerah Sibu yang menikmati kesan dan terus membangun.

“Kewujudan Score (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak) 10 tahun yang lepas juga tidak memihak kepada penduduk Daerah Belaga,” ujar beliau.

Daniel berharap penubuhan Agensi Pembangunan Hulu Rejang (URDA) akan merancakkan pembangunan di Belaga terutamanya di kawasan Hilir Bakun.

Mengenai rancangan untuk menambah kapasiti atau menambah turbin di Empangan Bakun, beliau berpendapat kajian semula yang mengambil kira aspek keselamatan harus dilakukan terlebih dahulu.

Empangan Bakun yang telah diambil alih Kerajaan Negeri pada 16 Ogos, 2017, berkapasiti 2,400MW dan Murum memiliki kapasiti 900MW.

Selain kekurangan dari aspek jaringan jalanraya, 10,000 penduduk dari 20 penempatan di sekitar Bakun tidak menikmati bekalan elektrik 24 jam dan masih bergantung kepada sistem graviti untuk mendapatkan bekalan air.

Daniel juga berharap peruntukkan untuk menjayakan program tanggungjawab korporat (CSR) khususnya dari Sarawak Energy Bhd harus ditambah untuk kebaikan anak jati Belaga. — DayakDaily