Oleh Chris Bishop
KOTA SAMARAHAN, 29 Okt: Kemajuan yang dicapai Sarawak mestilah seiring dengan kelestarian alam sekitar, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Menurut beliau, pembangunan dan kemajuan fizikal, sosial dan ekonomi tidak akan mendatangkan apa-apa makna sekiranya gagal mengekalkan alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif.
“Saya yakin banyak isu-isu alam sekitar akan dapat ditangani dengan berkesan melalui pendekatan meningkatkan kesedaran memulihara alam sekitar.
“Ini juga termasuk memberi pengiktirafan kepada pihak atau individu yang turut bersama-sama menjayakan usaha melestarikan alam sekitar,” katanya semasa merasmikan program “Persekitaran Bersih Jaminan Kehidupan Lestari” anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang.
Tambah Dr Sim, kejayaan memulihara alam sekitar memerlukan kerjasama padu segenap masyarakat.
Justeru katanya, adalah menjadi harapan supaya tumpuan berterusan diberi kepada usaha meningkatkan kesedaran dan komitmen masyarakat.
“Ia bagi mencapai hasrat kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebuah Negeri yang berteraskan Pembangunan Lestari atau ‘Sustainable Development’.
“Lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda yang bakal pewaris alam sekitar negara,” katanya.
Hadir sama Pengerusi MPKS Dato Peter Minos. — DayakDaily