Usah sorong-tarik dalam peruntukan baik pulih sekolah daif — Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Julai: Datuk Seri Fatimah Abdullah melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan pusat yang seolah-olah sengaja melengah-lengahkan peruntukan untuk membaik pulih sekolah daif di negeri ini.

Ketika ditemui pemberita hari ini, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak itu bertanya apa pendirian sebenar kerajaan pusat, samada mahu memberi peruntukan ataupun tidak.


“Sudah terlalu lama isu ini dan saya rasa macam sorong-tarik, beri dan tarik.

“Sungguh mengecewakan dan kalau berterusan seperti ini memang sangat merugikan,” katanya setelah merasmikan program Latihan Kepimpinan Wanita yang dianjurkan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di sini.

Akibat daripada kelewatan tersebut, tambah Fatimah, sekolah di Sarawak yang berada dalam kategori daif akan bukannya akan menjadi semakin baik.

Malah tegas beliau, semakin hari keadaan sekolah akan semakin teruk dan yang paling teruk menerima kesan adalah murid-murid sekolah.

“Murid-murid kita belajar dalam suasana dan keadaan yang tidak kondusif untuk proses pembelajaran. Bagaimana harus kita membiarkan perkara ini berlaku, di mana semangat satu Malaysia, semangat federalisma?

“Isu hutang janganlah dikaitkan, janji harus ditepati dan kalau mahu beri, berilah terus. Kalau betul tidak mahu beri, beritahulah tidak, kita akan buat sesuatu kemudian,” tegas Fatimah.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan, berkata Putrajaya akan menyegerakan proses perolehan dan perbelanjaan sehingga RM350 juta untuk fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Ini sebaik sahaja Sarawak membuat bayaran balik hutang sebanyak RM350 juta.

Menurut Lim, setakat 30 Jun lalu, kerajaan Sarawak masih berhutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM2.3 bilion.

Beliau berkata, sekiranya RM1 bilion dibayar balik oleh Sarawak, maka negeri itu masih berhutang kepada kerajaan sebanyak RM1.3 bilion.

Katanya, kerajaan bersetuju secara dasarnya untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang Sarawak sebanyak RM1 bilion untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif, tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan. —DayakDaily