Oleh Chris Bishop
KOTA SAMARAHAN, 25 Jun: Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) berhasrat menjadikan Kapit sebagai kawasan penanaman koko terbesar di negeri ini.
Adun Katibas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Dan Usahawan URDA Lidam Assan berkata, ia mampu diwujudkan kerana Kapit memiliki tanah yang subur bagi tanaman koko.
“Selain itu keadaan muka bumi Kapit yang berbukit menjadikannya tidak sesuai untuk tanaman lain seperti kelapa sawit.
“Oleh itu kita (URDA) memilih koko dan pasarannya agak baik pada masa sekarang.
“Kapit akan dijadikan sebagai kawasan tanaman koko terbesar di Negeri ini,” katanya ketika ditemui di Lembaga Koko Malaysia (LKM) Cawangan Sarawak hari ini.
Lidam mengetuai rombongan dari Kapit yang melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko.
Tambah beliau, kawasan Kapit memiliki beratus-ratus ekar tanah yang sudah memiliki surat hak milik termasuk yang sudah digazet.
Di samping itu, jelas beliau, terdapat banyak permohonan dari pekebun-pekebun di Kapit untuk terlibat dalam tanaman koko.
“Semua permohonan ini masih menunggu peruntukan bagi mereka memulakan tanaman koko,” ujar beliau.
Terdahulu dalam ucapannya, Lidam berkata, kawasan pengumpulan dan pemprosesan koko juga akan diwujudkan bagi menyokong pekebun dan industri.
Katanya, ia diwujudkan di kawasan yang memiliki banyak pekebun koko termasuk di Song dan Katibas.
Hadir sama Adun Pelagus Wilson Nyabong Ijang. — DayakDaily