Unimas dipilih tuan rumah Hari Pentadbir Universiti Awam 2018

MASTI baru-baru ini menjalankan Program CSR di Thailand dengan projek menaiktaraf masjid dan pembinaan sekolah dan koperasi.

KUCHING, Ogos 18: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dipilih oleh Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) sebagai tuan rumah kepada penganjuran sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

MASTI juga telah memilih untuk menjadikan tarikh 20 Ogos pada setiap tahun sebagai tarikh Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam.

MASTI dalam satu kenyataan media hari ini berkata, hari sambutan itu diadakan bertujuan memartabatkan profesion pentadbir, menyuntik motivasi dan menghargai peranan pentadbir Universiti dalam membina kecemerlangan Universiti Awam (UA) di Malaysia.


“Sempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam yang diadakan bertempat di Waterfront Hotel, Kuching beberapa program pengisian awal diatur bermula hari ini (18 Ogos) sehingga ke hari kemuncak sambutan pada 20 Ogos ini.

“Antaranya adalah program khidmat sosial, VCORE 4.0 MASTI ‘Scavenger Hunt’ bersama badan kebajikan terpilih, konvensyen dan forum Transformasi Pentadbir Universiti yang dihadiri oleh Pengarah Akademik Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Datuk Prof Dr Rohana Yusof dan Majlis Anugerah Gemilang MASTI pada Ahad malam,” kata MASTI hari ini.

Majlis Anugerah Gemilang MASTI juga diadakan bagi menghargai sumbangan para pentadbir dalam menyokong merealisasikan visi dan misi universiti, pendidikan tinggi dan Falsafah Pendikan Negara.

Antara anugerah yang disediakan ialah Anugerah Khas MASTI, Anugerah Pentadbir Cemerlang (Khidmat Komuniti),  Anugerah Pentadbir Cemerlang (Kreativiti & Inovasi), Anugerah Pentadbir Terbilang dan Anugerah Kepimpinan Perdana MASTI.

“Pada Isnin depan, sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam 2018 akan disempurnakan oleh Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi yang turut menyampaikan ucaptama beliau bertemakan Leadership 4.0.

“Dalam majlis ini juga bakal dilancarkan sebuah buku terbitan MASTI dengan kerjasama AKEPT dan Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM PRESS) bertajuk  ‘Kepimpinan Pendidikan Tinggi di Malaysia: Perspektif Pentadbir Universiti’.

“Buku setebal 273 halaman ini mengandungi 21 buah artikel yang ditulis oleh pentadbir UA yang menyentuh pelbagai tema seperti persatuan, hubungan industri, media, sumber manusia, penyelidikan, perpustakaan dan fasiliti,” kata MASTI.

Sambil menambah, MASTI memberitahu Pentadbir Universiti Awam merupakan antara tiga kelompok utama yang menjadi teras dalam kejayaan sesebuah iniversiti selain daripada kakitangan akademik dan kakitangan pelaksana.

“Pentadbir memainkan peranan yang cukup penting sebagai tulang belakang bagi menjayakan setiap agenda pendidikan tinggi negara dan penganjuran Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam amat signifikan dengan realiti semasa.

“MASTI yang ditubuhkan pada 2001 kini menaungi  secara rasmi sebanyak 20 buah persatuan pentadbir yang terdapat Universiti Awam seluruh negara,” jelas MASTI. — DayakDaily