Unimas dan University of Reading Malaysia tandatangani MoU jalinan akademik

Mohamad Kadim dan Dr Samantha Weston bertukar dokumen MoU.

KOTA SAMARAHAN, Ogos 10: Satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangi antara Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan University of Reading, Malaysia, bertujuan untuk melebar sayap universiti ke persada dunia.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Vice-Provost dan Pengarah Akademik, Pengajaran dan Pembelajaran Univeristy of Reading, Malaysia, Dr Samantha Weston.

Majlis tersebut juga telah disaksikan oleh Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia dari Unimas, Dr Surena Sabil, Ketua School of Psycholoy and Clinical Language Sciences, Dr Rachel Pye dan Pensyarah dari University of Reading, Malaysia, Dr Andreas Kalckert.


Jalinan akademik ini telah dimulakan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM) selaku Timbalan Dekan (Pemajuan Pembelajaran) di Pusat Pembelajaran Gunaan dan Multimedia, Dr Kartini Abdul Ghani.

Beliau telah membawa jaringan ini melalui latihan industri pelajar dan perkongsian hasil penyelidikan beliau berkenaan dengan ‘working memory’ di University of Reading, Malaysia, pada tahun lepas.

Memorandum persefahaman ini selaras dengan visi Unimas untuk menjadi sebuah universiti contoh dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Unimas juga sentiasa mengambil inisiatif untuk menjadi pilihan institusi pengajian tinggi yang utama untuk golongan pelajar dan akademik, bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga antarabangsa.

Salah satu matlamat memorandum ini adalah untuk menyediakan peluang dan ruang kepada pelajar dan ahli akademik dari kedua-dua universiti untuk berkongsi ilmu dan pengalaman melalui program mobiliti.

Terdapat tiga program yang difokuskan kepada agenda utama memorandum persefahaman ini iaitu Program Psikologi dan Program Sains Kognitif dan Program Pembangunan Manusia dari FSKPM.

Tiga program ini amat sinonim dengan program di School of Psychology and Clinical Language Sciences, University of Reading, Malaysia.

Program ini mampu menjadi satu jambatan akademik dan penyelidikan yang akan memberi faedah dan kebaikan kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, Dekan FSKPM, Dr Surena Sabil berkata fakulti berkenaan sentiasa bergerak ke hadapan iaitu ke arena antarabangsa.

Katanya, jaringan sebegini sudah pasti membentuk graduan dan komuniti fakulti yang berketrampilan dari segi ilmu, sahsiah dan teknologi dalam bidang Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia.

“Dengan adanya persefahaman sebegini, maka tidak mustahil pelajar dan ahli akademik dari UNIMAS, khususnya FSKPM dapat menimba pengalaman yang lebih luas lagi dalam bidang yang diceburi.

“Kita percaya memorandum persefahaman ini akan wujud landasan kerjasama antara dua universiti pada masa kini dan masa akan datang.

Selain daripada pertukaran staf dan pelajar, antara lain agenda adalah kerjasama dalam penyelidikan dan konsultansi dalam bidang-bidang yang bertepatan dengan keperluan manusia sejagat yang mementingkan perbezaan budaya dan bangsa di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rachel Pye berkata, ia adalah peluang yang sangat baik untuk menjalinkan kerjasama dan pertukaran pelajar antara dua kampus ini.

Jelasnya, perjanjian yang telah ditandatangani akan membuka jalan untuk latihan penyelidikan dan pertukaran kakitangan akademik dan pengajar seperti tetamu jemputan bagi seminar, kuliah dan bengkel pembangunan profesional.

“Diharap kerjasama University of Reading, Malaysia, dengan Unimas akan meningkatkan penyelidikan dan mengukuhkan profil universiti sebagai institusi yang mengfokuskan kepada penyelidikan dan pengajaran.

“Kami percaya dengan kepakaran khusus dalam psikologi eksperimen yang kami ada berserta makmal canggih dan terkini dapat memberi manfaat kepada pelajar Unimas dan memberikan pengalaman dan kemahiran yang mungkin mereka tidak perolehi dari kampus mereka sendiri,” katanya lagi. — DayakDaily