UNIFOR peruntukan RM215 juta bina dan baiki rumah-rumah ibadah sejak 2017 — Abang Johari

Ismail Sabri (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Abang Johari (tiga dari kiri).

KUCHING, 7 Ogos: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM215 juta untuk membina atau membaiki rumah-rumah ibadah bagi agama-agama bukan Islam sejak penubuhan pada 2017.

Selain itu kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, UNIFOR juga telah memperuntukan RM30 juta untuk sekolah mubaligh dan RM10 juta untuk tujuan pentadbiran.

“Kerajaan Sarawak juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM70 juta untuk membina Bangunan UNIFOR di Jalan Ong Tiang Swee di Kuching.

“Ini adalah supaya pentadbiran UNIFOR lebih tersusun dan pelaksanaan aktiviti keagamaan di bawah UNIFOR lebih teratur,” katanya dalam ucapan aluan di Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dataran Perayaan, Petra Jaya di sini, hari ini.

Majlis perasmian penutupan program yang berlangsung selama 3 hari mulai 5 hingga 7 Ogos telah disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tambah Abang Johari, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan bantuan kepada penganut-penganut agama bukan Islam melalui UNIFOR atas dasar agama-agama bukan Islam juga memerlukan pembelaan dan kepedulian Kerajaan.

Pada majlis tersebut, Ismail Sabri telah menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada 9 penerima.

Penerima adalah merupakan anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa atau penjaga atau kedua-duanya akibat pandemik Covid-19.

Beliau turut menyerahkan surat setuju terima projek sekolah kepada kontraktor terpilih dan menyerahkan bantuan komputer riba kepada pelajar B40 Universiti Malaysia Sarawak. — DayakDaily