BERSATU Sarawak kecewa tindakan Willie sertai PBB

Jaziri Alkaf Abdillah Suffian

KUCHING, 7 Ogos: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak kecewa dengan tindakan MP Puncak Borneo Datuk Willie Mongin yang mengumumkan keluar parti menjelang Pilihanraya Umum (PRU) yang hampir tiba.

Ketua BERSATU Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian dalam kenyataan semalam berharap tindakan Willie bukan demi kepentingan pribadi.

Katanya, BERSATU mengambil maklum tindakan Willie mengenai permohonan beliau untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) telah diluluskan.


“Oleh itu, keahlian Willie telah tergugur secara automatik menurut Perlembagaan parti Fasal 10, perkara 10.2.3.

“Hal ini juga telah disampaikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden BERSATU,” katanya.

Dalam masa yang sama kata Jaziri, BERSATU Sarawak menyokong tindakan susulan oleh pucuk pimpinan parti berkaitan kuota Timbalan Menteri beliau yang sebelum ini adalah kuota milik BERSATU.

Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan perkara tersebut pada satu sidang media di Kuching semalam.

Menurut Abang Johari, Majlis Tertinggi PBB telah menerima permohonan Willie untuk menjadi ahli PBB tanpa sebarang komitmen.

“Penerimaan Willie tanpa syarat. Beliau (Willie) menjadi ahli PBB kerana menyokong PBB, ia suatu perkara yang bagus,” kata Abang Johari selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB. — DayakDaily