Polis Miri tahan pemuda disyaki mengugut kakak teman wanita

Polis membawa suspek (tiga dari kanan) ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 21 Julai: Perbuatan seorang pemuda melakukan ugutan jenayah terhadap kakak teman wanitanya, membawa padah apabila dia ditahan polis untuk siasatan lanjut pada malam Selasa (20 Julai).

Dalam kejadian, suspek berusia 28 tahun itu dikatakan telah datang ke rumah pengadu di Taman Ceria Bandar Baru Permyjaya, dan sebaik sampai di perkarangan kediaman, suspek telah berteriak.


Namun, suspek bergegas balik selepas ditegur oleh jiran mangsa.

“Suspek telah datang semula ke rumah pengadu dan disyaki telah mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan terhadap pengadu,” ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari.

Bimbang akan keselematan dirinya, pengadu berusia 35 tahun telah tampil membuat satu laporan polis.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek di kediamannya di Taman Harmoni RPR 2 sekitar jam 7.20 malam Selasa.

Dipercayai kejadian berlaku kerana suspek berasa tidak puas hati terhadap pengadu yang menuduhnya terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily