Umat Islam di Sarawak diminta menghormati bulan Ramadhan

Juma'ani (lima dari kanan) menerima cenderahati dari Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie sambil disaksikan Misnu (empat dari kiri) selepas merasmikan Majma Raya Fest 2019 di Majma Mall, Jalan P Ramlee.

KUCHING, Mei 5: Umat Islam di Sarawak diminta menghormati bulan Ramadhan dan tidak sengaja makan di tempat terbuka dan khalayak ramai di siang hari kerana tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha berkata demikian dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan tersebut terutamanya di premis menjual makanan di seluruh Sarawak.

“Pemantauan dan penguatkuasa (Jais) terbabit diseluruh tempat, tidak kira samada di bandar ataupun luar bandar dan sebagainya serta di semua premis menjual makanan tidak kira di pusat beli belah ataupun restoran biasa,” katanya selepas majlis perasmian Majma Raya Fest 2019 di Majma Mall, Jalan P Ramlee, di sini, hari ini.

Majma Raya Fest 2019 telah dirasmikan isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan bermula semalam sehingga Jun 4 depan dari jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari bagi menyediakan ruang kepada umat Islam berniaga dan menambah pendapatan disamping mempromosi pakaian dan barangan lain bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Misnu berkata Jais sepanjang bulan Ramadhan ini akan menasihatkan umat Islam supaya tidak makan di siang hari di tempat terbuka dan khalayak ramai bagi menghormati bulan Ramadhan.

“Kami juga memohon umat Islam yang makan dan minum serta sebagainya (di siang hari) kerana tidak berpuasa, silakan lakukannya di rumah ataupun tempat tertutup dan bukan di khalayak ramai. Saya tiada butiran berapa ramai ditangkap Jais tahun lepas tapi berharap tahun ini tiada ditangkap kerana perbuatan tidak menghormati bulan Ramadhan itu,” kata beliau.

Selain berpuasa di siang hari, beliau juga mengalakkan umat Islam di Sarawak supaya meningkatkan kegiatan kebajikan dan memberikan bantuan kepada golongan memerlukan dan berusaha memenuhkan masjid dan surau bagi bersembahyang.

“Kita juga mengharapkan sambutan bulan Ramadhan di Sarawak tahun ini akan penuh suasana aman damai dan harmoni dan tiada yang menimbulkan sebarang masalah kepada kita sebagai orang Islam,” katanya.

Disamping itu, beliau juga mendedahkan kadar Zakat Fitrah perlu dibayar umat Islam di Sarawak tahun ini ialah sebanyak RM7 dan pihaknya mensasarkan mengutip keseluruhan zakat terbabit sebanyak RM5 juta tahun ini.

Katanya tahun lepas pihaknya berjaya mengutip zakat terbabit sebanyak RM5 juta dari umat Islam yang merangkumi 30 peratus penduduk Sarawak dan mendedahkan kesedaran keperluan membayar zakat tersebut sudah meningkat dikalangan umat Islam di Sarawak sehingga 95 peratus dari keseluruhan mereka. — DayakDaily