Ulat mulung menjadi makanan eksotik digemari warga Semenanjung

Ulat mulung yang dimasak grill di Puyan Melanau.

KUCHING, 12 Julai: Ulat mulung atau ulat si’ert dimasak pangang atau grill kini menjadi makanan eksotik yang juga digemari warga Semenanjung yang bekerja di negeri ini.

Ini diakui Wedjohn Darimi, 33, yang baharu membuka Puyan Melanau iaitu kedai menjual hidangan makanan kaum Melanau di Bandar Baru Permai Jaya di bandar raya Miri.

Beliau yang berasal dari Kampung Tellian Daya di Mukah berkata kedainya juga turut dikunjungi warga Semenanjung yang ramai bekerja dalam industri minyak dan gas di perairan negeri ini dan singgah di bandar raya Miri.


“Terbaharu ialah dua orang jurutera industri terbabit telah mengunjungi kedai saya dan mereka telah memesan 100 gram ulat mulong panggang,” katanya kepada Dayak Daily hari ini.

Kedai Puyan Melanau di Bandar Baru Permai Jaya, Miri.

Wedjohn berkata seorang jurutera terbabit dari Kuala Lumpur dan seorang lagi dari Ipoh, Perak dengan mereka ditemani seorang lagi rakan sekerja berasal dari Miri.

“Seorang jurutera terbabit dari Kuala Lumpur amat menyukai ulat mulong setelah kali pertama mencubanya di kedai saya. Dia suka rasanya yang sedap, berlemak dan berprotein serta mahu kembali lagi ke kedai saya bagi merasa hidangan eksotik ini lagi,” katanya.

Beliau mendedahkan ketika ini sekurang-kurangnya sehingga tiga kilogram ulat mulung grill dapat dijual kedainya kepada pelanggan dalam sehari.

“Adakalanya pelanggan yang betul-betul mengidam ulat ini akan memesan sehingga lima kilogram sekaligus,” katanya.

Wedjohn berkata ulat terbabit dijualnya pada harga RM10 bagi seberat 100 gram dengan bekalan ulat terbabit diperolehinya dari Mukah yang banyak ditanam pokok sagu yang menjadi makanan ulat itu.

Bekalan ulat mulong dari Mukah yang masih mentah diperolehi Puyan Melanau.

“Ulat dimasak grill bercampur bawang putih, serai dan cili atau bawang besar sahaja dan pelanggan boleh pilih ulat yang dibelah perut atau tidak,” katanya.

Beliau sehubungan itu berharap orang ramai dapat mengunjungi kedainya bagi menikmati hidangan eksotik terbabit dan juga hidangan lain kaum Melanau seperti umai jeb tenggiri, umai campur perang, salai, linut dan pelbagai lagi.-DayakDaily