Ular sawa tak sempat membaham ayam ditangkap

Reptilia berukuran lima meter panjang itu berjaya ditangkap anggota APM Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 5 April: Bunyi bising yang luar biasa dari beberapa ekor ayam yang disimpan dalam reban sebuah rumah di Kampung Lereng Bukit, membawa kepada penangkapan seekor ular sawa berukuran lima meter panjang pada malam Isnin.

Difahamkan, penemuan itu dilakukan pemilik haiwan ternakan tersebut, seorang wanita warga emas berusia 74 tahun sekitar jam 10.30 malam.

Bimbang reptilia itu membaham ayam ayamnya, pengadu telah segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awan Miri (APM).

Menurut pegawai APM Miri kapten (PA) Usman Harto, seramai empat anggotanya telah bergegas ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan itu sekitar jam 10.31 malam.

“Anggota kita berjaya menangkap reptilia tersebut dan melepaskan ke habitat asal,” ujarnya. — DayakDaily