Anggota tentera maut selepas ditikam isteri

DSP Sudirman Kram

KUCHING, 5 April: Seorang anggota tentera berbangsa Bidayuh maut dipercayai ditikam isterinya di kediaman mereka di Kem Penrissen di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan di antara mangsa, 28, dan isterinya sekitar jam 10.30 malam.

Kata Sudirman, isterinya mula menggertak mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sebelum dipercayai tertikam paha kiri mangsa menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

“Mangsa yang kehilangan banyak darah telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

“Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di HUS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek yang berusia 24 tahun ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

“Turut dirampas ialah sebilah pisau pemotong sayur dan pakaian suspek semasa kejadian,” katanya.

Pasangan terbabit difahamkan mempunyai seorang anak. — DayakDaily