Ular sawa sepanjang 5.1 meter berjaya ditangkap oleh APM

Anggota APM Sibu menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap.

SIBU, Feb 25: Seekor ular sawa sepanjang kira-kira 5.1 meter berjaya ditangkap oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu di Jalan Kampung Hilir di sini pagi ini.

Anggota APM Sibu, Kamisah Rais berkata, pihaknya berjaya menangkap reptilia seberat kira-kira 60 kilogram itu pada pukul 4.35 pagi.

Katanya, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan ular sawa berkenaan daripada seorang penduduk kampung tersebut pada pukul 2.34 pagi.


“Sejurus menerima panggilan itu, empat anggota APM telah bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menangkap ular sawa tersebut.

“Sebaik tiba, anggota APM mendapati reptilia tersebut masih berada di tebing sungai sebelum mereka melakukan operasi menangkap ular sawa tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Kamisah memberitahu, ketika operasi menangkap ular itu dilakukan, seorang anggota APM telah dipatuk.

Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan.

“Luka di jari mangsa telah dibersihkan dan diberi suntikan antibiotik oleh pihak hospital dan mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Ular sawa itu pula berjaya ditangkap selepas lebih sejam operasi berkenaan dilakukan,” katanya. — DayakDaily