Lelaki tunggang motosikal berkuasa tinggi maut dirempuh kereta

Mangsa yang maut dirempuh kereta.

MIRI, Feb 25: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Bendahara di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa, Roger Chang, 34, disahkan meninggal dunia di Hospital Miri pada pukul 2.11 pagi ketika sedang menerima rawatan kecemasan di situ.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Permaisuri menghala ke Hotel Pullman.


Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun gagal memberhentikan kenderaannya apabila melalui satu kawasan lampu isyarat di situ.

“Tindakan pemandu kereta itu memandu terus tanpa menghiraukan lampu isyarat berwarna kuning telah mengakibatkan kemalangan berkenaan.

“Kereta tersebut telah merempuh motosikal mangsa dan mengakibatkan mangsa tercampak jatuh ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada anggota badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pemandu kereta berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, pihak polis sudah menahan pemandu itu untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily