Ujian Psikometrik guru interim tidak perlu disemak semula – Entulu

Datuk Joseph Entulu. - file pic

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata bahawa tidak wujud keperluan untuk menyemak semula kertas ujian psikometrik 80 guru interim yang gagal ujian tersebut.

Beliau diminta mengulas permintaan semakan semula Ujian Psikometrik oleh 80 guru interim yang gagal ujian tersebut, dimana guru-guru tersebut mencadangkan Ujian Psikometrik mereka dinilai oleh badan bebas.

Entulu dalam pada itu menyatakan bahawa beliau percaya para penemuduga adalah dari golongan profesional, dan mereka seharusnya mempunyai sebab munasabah berkenaan soalan-soalan yang diajukan ketika sesi temuduga.


Beliau juga berpendapat bahawa permintaan untuk menyemak semula kertas ujian psikometrik tersebut wujud akibat kekeliruan dan kesangsian berkenaan cara ujian tersebut disemak namun beliau pasti bahawa ianya sudah diterangkan dengan jelas.

Dalam pada itu, Entulu juga menerangkan bahawa sesetengah guru interim telah salah faham akan keperluan mereka menduduki Ujian Psikometrik tersebut dimana ramai beranggapan bahawa mereka akan terus diserap ke dalam perkhidmatan pendidikan selepas dijadikan guru interim.

Sungguhpun demikian, menurut Entulu, semua guru yang ingin berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia perlu melalui Ujian Psikometrik sebelum mereka boleh diserap ke dalam perkhidmatan pendidikan dengan guru yang melalui Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu lulus ujian tersebut sebelum mereka diserap, dan guru interim diwajibkan lulus ujian tersebut sebelum mereka diserap.

Jelas Entulu, hal ini adalah kerana guru interim yang diambil tidak menduduki ujian tersebut sebelum mereka diambil untuk menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Swasta (IPTS).

Entulu turut memaklumkan bahawa beliau dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa kebanyakan guru interim yang gagal Ujian Psikometrik tersebut adalah berbangsa Dayak.