Chelsea juara baharu Liga Inggeris

Kelab Bolasepak Chelsea telah mengesahkan kejuaraan Liga Inggeris awal pagi tadi selepas berjaya menundukkan pasukan West Brom, sekaligus menyaksikan pasukan dari London tersebut merangkul kejuaraan liga ke-enam mereka.

Kemenangan ke atas West Brom di The Hawthorns memberikan Chelsea 87 mata, sepuluh mata lebih dari pencabar terdekatnya Tottenham yang akan turun menentang Manchester United Ahad ini, dengan Chelsea memiliki kelebihan dua perlawanan lagi.

Chelsea yang beraksi cemerlang di dalam Liga Inggeris seharusnya berupaya mengesahkan kejuaraan mereka lebih awal, namun beberapa kekalahan pada bulan April, khususnya kepada Crystal Palace dan Manchester United, telah menyaksikan pasukan bimbingan Antonio Conte itu terlepas bebepada mata berharga.

Dengan kejuaraan Liga Inggeris sudah di dalam tangan, tumpuan Chelsea kini teralih ke Piala FA yang mana akan menyaksikan anak-anak buah Conte berdepan Arsenal di Wembley pada 27 Mei ini.

Sekiranya berjaya menundukkan Arsenal, Chelsea akan muncul sebagai juara berganda bolasepak Inggeris bagi musim 2016/17.