KOTA SAMARAHAN, Jun 20: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak akan menumpukan penyelidikan berkaitan penggunaan teknologi turbin janakuasa kecil yang menggunakan air deras dari sungai kecil bagi membantu kerajaan Sarawak membekalkan tenaga elektrik di pedalaman Sarawak.
Rektor UiTM Sarawak, Proffessor Dato Dr Jamil Hamali berkata demikian berikutan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menyarankan penumpuan penyelidikan teknologi tersebut ketika univesiti itu mengadakan perjumpaan dengannya baru-baru ini.
“Ketua Menteri mendedahkan halatuju kehadapan bagi membekalkan elektrik di pedalaman Sarawak adalah penggunaan turbin janakuasa kecil yang mengunakan aliran air deras dari sungai kecil, jadi kami melakukan penyelidikan mengenai teknologi itu sekarang,” katanya selepas merasmikan Kolokium Penyelidikan UiTM Sarawak (USRC) 2019 di UiTM Kampus Samarahan 2, di sini, semalam.
Kolokium terbabit bagi memberikan peluang kepada ahli kumpulan penyelidik, penerima geran dari UiTM Cawangan Sarawak dan pelajar tahun akhir dari UiTM seluruh Malaysia membentangkan dan berkongsi hasil penyelidikan mereka.
Jamil berkata ada universiti lain sudah menjalankan penyelidikan teknologi solar bagi membekalkan elektrik di pedalaman tetapi teknologi itu didapati kurang berjaya kerana kos tinggi disamping kuantiti elektrik dijana adalah kecil.
“Ketika ini ada satu syarikat ada kepakaran (teknologi turbin janakuasa kecil) terbabit dan ini adalah kepakaran diperolehi mereka dari luar negara, jadi kami mahu menambahbaik kepakaran itu dan melihat bagaimana ia boleh digunakan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata UiTM Sarawak selepas ini akan mengenalpasti kawasan pedalaman sesuai bagi melaksanakan penyelidikan teknologi tersebut secara perintis dan berskala kecil bersama syarikat berkenaan dan juga mendapatkan sokongan dari Majlis Sains Sarawak.
Dr Jamil juga yakin kerajaan Sarawak akan memberikan lebih banyak geran kepada universiti terbabit bagi menjalankan lebih banyak penyelidikan berkaitan teknologi itu di pedalaman Sarawak sekiranya penyelidikan perintisnya terbukti berjaya. ā DayakDaily