UiTM Sarawak, Satoyama Microbes tandatangani dua MOA

Jamil (tiga dari kanan) bertukar dokumen MOA dengan Yap selepas menandatanganinya di UiTM Sarawak Kampus Samarahan II, di Kuching.

KOTA SAMARAHAN, Ogos 1: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak telah menandatangani dua Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Satoyama Microbes Sdn Bhd bagi menjalankan kerjasama menghasilkan formula makanan ayam yang lebih baik di UiTM Sarawak Kampus Samarahan II, di sini, hari ini.

Dua MOA itu yang merangkumi kerjasama dalam penyelidikan, pertukaran kakitangan dan pelajar telah ditandatangani Rektor UiTM Sarawak, Professor Dato Dr Jamil Hamali dengan Ketua Pegawai Eksekutif Satoyama Microbes Sdn Bhd, Peter Yap.

Teras utama dua MOA terbabit ialah bagi menambahbaik formula makanan ayam Satoyama Microbes Sdn Bhd di ladang ayam organiknya di negeri ini dengan mengunakan mikroorganisma yang dapat meningkatkan pembesaran larva lalat ‘black soldier’ yang digunakan dalam makanan ayam sebagai sumber protein yang baik.

Keduanya, MOA itu bagi meneroka potensi mikroorganisma dalam pengeluaran ‘mirobial cellulase enzyme’ bagi degredasi bahan organik yang boleh ditambah ke dalam kompos bagi mempercepatkan pembesaran tumbuhan.

Jamil berkata dengan dua MOA itu juga Satoyama Microbes Sdn Bhd akan menyediakan geran penyelidikan berjumlah RM100,000 kepada UiTM Sarawak serta bayaran royalti dari pengkomersilan produk penyelidikan terbabit.

“Disamping itu, UiTM Sarawak juga akan mendapat manfaat melalui pemilikan paten bersama, penerbitan jurnal saintifik dan juga latihan industri kepada pelajarnya terutama dari Fakuliti Sains,” katanya.

Jamil berkata Satoyama Microbes Sdn Bhd pula mendapat manfaat dari segi kepakaran, kemudahan makmal dan ruang bagi menjalankan penyelidikan disamping pembangunan sumber manusia melalui latihan dan bimbingan.

“Ini kemudian boleh mengurangkan dengan banyak kos R&D (penyelidikan dan pembangunan) yang menjadi masalah utama industri. Selain itu produk yang dibangunkan oleh penyelidikan ini boleh dikomersilkan bagi manfaat masa depan semua,” katanya.

Katanya ini kerana makanan ayam dalam pengeluaran ladang ayam biasa ketika ini dicampurkan antibiotik dan kemungkinan dicampurkan juga sumber makanan organisma diubah suai secara genetik (GMOs) yang mempunyai impak negetif kepada kesihatan manusia dalam jangka masa panjang. — DayakDaily