Uggah: Wakil rakyat PH hanya berlagak jadi ‘jaguh’

Uggah (lima dari kiri) menunjukkan tanda 'bagus' bersama masyarakat setempat di Roban.

ROBAN, Mei 4: Wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) hanya berlagak menjadi ‘jaguh’ dalam menyentuh isu nasional tetapi ‘bisu’ menyentuh isu hak-hak Sarawak di Parlimen.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tiada wakil dari PH yang pernah menyentuh sebarang isu mengenai hak-hak dan tuntutan Sarawak ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Tegasnya, hanya wakil rakyat dari BN yang sering bercakap dan menyuarakan mengenai hak-hak dan tuntutan Sarawak tanpa rasa takut atau gentar.


“Saya mengambil contoh pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sering bercakap besar, namun mereka tidak berani menyentuh mengenai hak Sarawak di Parlimen.

“Ini kerana mereka telah diarahkan oleh ‘ketua’ mereka supaya tidak menyentuh perkara tersebut di Parlimen,” katanya di Dewan Salcra Roban semalam.

Dalam pada itu, Uggah menyeru masyarakat di Parlimen Saratok agar menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Saratok Subeng Mula dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak.

Jelas beliau, apabila wakil rakyat BN Sarawak ramai di Parlimen kelak, ia sekali gus membolehkan kerajaan negeri menggunakan kuasanya bagi mengukuhkan tuntutan dan hak Sarawak di peringkat persekutuan.

“Kita harus kuat di Parlimen dan saya berharap pengundi Saratok akan memilih calon BN iaitu Subeng Mula supaya beliau boleh bercakap dan berjuang untuk hak-hak Sarawak.

“Apabila pemimpin BN Sarawak berjuang untuk menuntut hak-hak Sarawak dengan berjuang sepenuhnya di Parlimen kelak, ini membuatkan pemimpin PH akan terus bisu dan tidak berani bertindak,” katanya lagi.

Beliau menambah, ini jelas membuktikan bahawa PH merupakan parti yang hanya memberi manfaat kepada orang ‘seberang’ dan tidak pernah memperjuangkan hak-hak negeri Sarawak yang sebenar. — DayakDaily