Uggah: Timbalan perdana menteri dari Sarawak, keputusan di tangan PM

(dari kiri) Awang Tengah, Abang Johari dan Uggah setelah selesai mesyuarat.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Mac: Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan siapa yang bakal menjadi timbalannya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata ia adalah hak mutlak perdana menteri.


Namun, beliau mengharapkan sesuatu untuk Sarawak yang telah pun menyertai kerajaan persekutuan melalui gabungan Perikatan Nasional (PN) plus Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ia adalah hak perdana menteri untuk melantik timbalannya, saya tidak mahu membuat andaian.

“Sebagai rakyat Sarawak, anda semua rakyat Sarawak, kita harus berdoa sesuatu dari perdana menteri untuk kita,” katanya ketika ditemui selepas selesai mesyuarat tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Ketua Menteri yang juga presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari, pada sidang media, berkata Sarawak telah menerima pelawaan menyertai kerajaan persekutuan melalui gabungan yang dikenali sebagai “PN plus GPS”.

Dengan penyertaan tersebut, Abang Johari yakin pemimpin dari Sarawak akan dilantik menganggotai kabinet.

Menurut Abang Johari, Muhyiddin dijangka melantik kabinet menteri dalam tempoh tiga atau empat hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. — DayakDaily