Uggah: Projek pembangunan dengan kos RM464.9 juta di Spaoh giat dilaksanakan

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 April: Projek-projek pembangunan bernilai RM464.9 juta yang diluluskan kerajaan Negeri di daerah Spaoh kini sedang giat dilaksanakan dengan sebahagian daripadanya telah pun siap.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ia merupakan usaha berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerusi agenda membangunkan kawasan luar bandar.


Jelas Uggah, ini juga bukti bahawa semua projek-projek yang telah dijanjikan kepada rakyat bukanlah semata-mata janji kosong, tetapi akan terus dilaksanakan oleh kerajaan.

“Pada masa sekarang, rakyat sudah mengetahui bahawa setiap janji ketua menteri, ia akan ditepati. Dahulu ada seorang (sudah bankrap) mendakwa tidak akan ada lapangan terbang (Bebuling) di Spaoh.

“Tetapi sekarang, kerja-kerja pembinaan lapangan terbang tersebut di Spaoh sudah pun bermula. Begitu juga dengan projek lain yang telah diumumkan dan diluluskan, ia akan dilaksanakan dan inilah kerajaan GPS.

“Ketua menteri mengutamakan rakyat dan sentiasa berfikir untuk membawa perubahan, iaitu pembangunan selain berusaha mencari pendapatan lebih kepada Sarawak,” katanya.

Uggah berkata demikian dalam ucapan pada Program Lawatan Kerja “Janji Ditepati” Ketua Menteri ke Daerah Kecil Spaoh bertempat di Dewan Masyarakat Spaoh di Betong hari ini.

Tambah Uggah yang juga Adun Bukit Saban, pembinaan Lapangan Terbang Bebuling di Spaoh dengan kos RM108 juta bakal merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sekitarnya.

Katanya, ia adalah perancangan mantap Abang Johari yang juga seorang pakar ekonomi dan sudah tentu akan memudahkan urusan pemasaran produk-produk dari kawasan bakul makanan iaitu dari Betong ke Mukah dan dari Bukit Sadok-Pakan-Skrang sehingga ke Krian.

“Ketua menteri juga telah meluluskan pembinaan terminal makanan untuk memproses dan membungkus produk-produk mengikut keperluan dan syarat-syarat standard makanan.

“Produk ini kemudiannya akan dihantar dari Lapangan Terbang Bebuling terus ke Singapura dan destinasi lain.

“Kerajaan juga telah mewujudkan dua taman agro iaitu di Debak dan di Bebuling yang menggunakan teknologi dan penanaman moden khusus untuk buah-buahan dan sayuran,” ujar beliau.

Tujuan kedua pembinaan Lapangan Terbang Bebuling tambah Uggah adalah untuk membawa pelancong-pelancong luar datang ke Tasik Batang Ai.

Dalam pada itu kata Uggah, pembinaan Jambatan Sungai Paku dengan kos RM26 juta bakal menjadi jambatan ikonik di daerah Spaoh.

Turut hadir Menteri Belia Dan sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan MP Betong Datuk Robert Lawson Chuat. — DayakDaily