Uggah menasihatkan jentera pilihanraya BN berusaha keras melawan sebarang isu dibangkitkan pembangkang

Uggah (kanan) memberikan buah durian kepada calon BN Parlimen Puncak Borneo, Jeannoth.

SERIAN, Mei 2: Pengarah Operasi Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menasihatkan semua jentera pilihanraya BN kawasan Parlimen negeri ini berusaha keras melawan sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang bagi meraih undi di kawasan mereka.

“Nasihat saya kepada semua jentera BN terbabit ialah bekerja keras, bekerja dengan bijak dan terus melawan semua isu yang dibangkitkan (pembangkang) sehingga hari terakhir Mei 9 depan. Selepas itu baru kita dapat melihat hasil usaha kita,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pemulihan Dusun Durian di Dewan Serbaguna Teng Bukap, Padawan, di sini, hari ini.

Uggah juga mendedahkan beliau sudah bertemu semua jentera BN kawasan Parlimen dari Kuching hingga ke Miri dan baru sahaja pulang dari Miri serta memberikan taklimat kepada Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg malam Selasa lepas.


“Ketua Menteri amat gembira dengan perkembangan pilihanraya ini dari sudut BN, kami yakin mampu memberikan (kemenangan), tetapi kami menasihatkan semua supaya jangan terlalu yakin pula,” katanya.

Sementara itu mengenai kerusi Parlimen BN yakin mampu menang setakat ini, Douglas enggan mendedahkannya, tetapi menurutnya Ketua Menteri ada berkata yang beliau amat yakin BN akan menang antara 28 atau 29 kerusi Parlimen negeri ini dari keseluruhan 31 kerusi Parlimen itu.

Sementara itu, calon BN Puncak Borneo, Genot@Jeannoth Sinel berkata mengenai dakwaan yang tular di Facebook mengenai dirinya, beliau berkata pihaknya sudah membuat laporan polis terhadap dakwaan terbabit yang berkaitan hak milik tanah.

“Mengenai dakwaan (hak milik) tanah itu, mereka mendakwa saya memberikannya kepada adik beradik. Sebenarnya saya tiada sebarang kuasa bagi memberikan itu kepada mereka, kerana yang kuasa adalah kerajaan negeri dan Jabatan Tanah dan Survei,” katanya.

Calon BN Parlimen Puncak Borneo, Genot@Jeannoth Sinel

Beliau malahan mendedahkan sebenarnya tanah didakwa telah dirampas terbabit adalah yang dibeli mereka serta mempunyai bukti terhadap pembelian tersebut serta sudah berbincang dengan peguam dan pasukannya bagi mempertahankan dirinya.

“Sebagai ahli politik, sebarang perkara kecil (dibangkitkan) walaupun kamu sudah menjelaskannya, mereka (rakyat) masih sukar mempercayainya, kecualilah mereka sendiri dapat melihat bukti itu,” katanya.

Jeannoth berkata setakat ini beliau sudah melawat sehingga 40 peratus kawasan Parlimen Puncak Borneo dan yakin pada hari ke tujuh berkempen akan dapat melawat seluruh kawasan itu.

Beliau sehubungan itu berharap penduduk di Parlimen Puncak Borneo bekerjasama dengan keluar mengundi pada hari pengundian Mei 9 depan dan menjelaskan mereka perlu sehari sahaja keluar mengundi tetapi beliau dan BN akan berkhidmat kepada mereka selama lima tahun. — DayakDaily