Uggah: Jangan buka Pusat Pemindahan Sementara sendiri

Uggah at SDMC press conference. File pix

Oleh Kadir Edison

KUCHING, 15 Jan: Mangsa yang terjejas akibat banjir dinasihat untuk tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang bukan dibuka secara rasmi oleh Jabatan Kebajikkan Masyarakat atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri  (SDMC).

Pengerusi SDMC Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penduduk yang terjejas akibat banjir seharusnya tidak boleh membuka PPS sendiri kerana perkara tersebut adalah dibawah tanggungjawab SDMC.


Menurut beliau, pembukaan sebuah PPS perlu berpandukan Prosedur Operasi Standar (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 melibatkan mangsa yang dipindahkan ke PPS.

“Dalam keadaan kita menghadapi Covid-19 ini, SOP di PPS itu adalah ketat.  Dulu mangsa boleh tidur bercampur-campur, sekarang kita ada tempat untuk mengasingkan mereka ini.

“Jika dahulu di PPS ini kita membenarkan mereka memasak makanan namun sekarang kitak tidak lagi membenarkan sebaliknya kita membekalkan makanan yang dibungkus,” katanya dalam sidang media harı ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua Kaum dan Ketua Masyarakat harus menghubungi pihak berkuasa tempatan iaitu pejabat Daerah atau Pejabat Bahagian masing-masing jika terdapat keperluan untuk melaksanakan pemindahan mangsa banjir ke PPS.

Katanya, SDMC sudah mempunyai jentera yang berpengalaman dalam menguruskan perkara-perkara berkaitan pemindahan mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil maklum perkara itu (tidak membuka PPS sendiri) selain tidak bermain dengan air banjir dan memastikan segala dokumen penting disimpan di tempat selamat untuk mengelakkan ianya hilang semasa banjir,” katanya. — DayakDaily